Ms 152
Hataya berapa hari berjalan datanglah pada pertama pihak negeri Parathoyala maka terlihatlah mereka itu dengan suatu kaum bernama Tarajama Payawana. Kaum itu yang mengertikan shohafa Ibrahim tatkala sampailah tentera raja Iskandar kepada mereka itu maka dikatakannya agamanya kepada nabi Khidir maka nabi Khidir pun pada masa itu juga berkirim surat kepada raja Iskandar di maklumkan di dalam surat itu akan peri hal kaum itu. Setelah surat itu sampai kepada raja Iskandar apabila diketahui ertinya surat itu maka baginda pun pada ketika itu juga dengan berapa orang yang diharapnya berkenderalah ia datang kepada nabi Khidir dan tatkala bertemulah raja Iskandar dengan nabi Khidir maka bertanyalah baginda kepada nabi Khidir “Mana kaum Tarajama Payawana itu?” maka oleh nabi Khidir dibawanya akan kaum itu raja Iskandar kepada kubur orang mati. Maka dilihat raja Iskandar segala kaum itu kecil besarnya dan hina dina semuanya duduk di tengah kubur dan segala hidupan mereka itu berhairan dirinya air rumput makanannya pun banyak maka kaum itu sangat warak dan penengah adanya di segera akannya. Arakian maka bertanya raja Iskandar kepadanya “Hai segala kaum yang ada ini, siapa kamu?” maka sahut mereka itu “Ya raja bahawa kami ini anak A’rajana Jayahayanata anak Nuh Alayaha Al Salama. Maka kata raja Iskandar “Mengapa kamu ini sekelian duduk di atas kubur?” maka sahut “Ya Zawa Al Qoranayana sebab kami mengerjakan demikian ini supaya jangan kami lupa mati dan hati kami percayakan diri kami tiada hidup kekal di dalam dunia ini. Pada penglihat kami seperti laut di masuki segala manusia itu maka tertanamlah kakinya. Makin di masukkan makin tertanam hingga dadanya lalu tenggelamlah hingga kepalanya. Maka terdampaklah manusia itu dihempaskan kaki dan tangannya maka matilah ia dilarikan ombak laut. Itulah ia tiada diketahui kemana2 perginya diatas langitkah atau dibawahkah. Akan dunia pun demikian diperlayarnya manusia dengan pelbagai rupa sehingga terkhabarlah tatkala itu di bawanyalah oleh yang empunya kehendak. Pada sangkanya bahawa dunia ini rumah iblis itulah dan dan akhirat itulah rumah segala hamba Allaha yang membelakangi dunia dan iblis itulah yang derhaka kepada Allaha Ta Alaya iaitulah yang sesat”.
Arakian maka sabda raja Iskandar pada mereka itu “Mengapa kamu ku lihat tiada beraja dan tiada berqodhi?” maka sahut mereka itu “Ya Zawa Al Qoranayana sudahlah kami lihat pada tuan sheikh. Hataya segala raja2 dan tawarikh dunia dan tawarikh segala isi dunia yang sudah lalu itu bahawa raja dan qodhi dan menteri itu di jadikan Allaha sebab pun orang yang kurus kehendaknya membinasakan orang yang dhoif dan yang mulia itu kehendaknya membinasakan orang yang hina. Kerana yang demikian itu maka mahtajalah negeri itu akan raja dan qodhi dan menteri. Adapun kami melihat barangsiapa dipermuliakan Allaha Ta Alaya ada juga dengan sendirinya dan barangsiapa kita lihat yang kurus daripadanya barangsiapa yang arif bahagianya akan dia kuasa maka tatkala itu sudahlah kami lihat peri itu maka syukurlah kami daripada setengah kami kerana itulah sentosa kami dukacita sebab kami jadi saudara belaka. Maka tiada kami ini barang seorang pun menganiayai atau terniaya dan barang seorang pun antara kami bersalahan dan tiada gholat hati kami sama sendirinya kami”.
Kata Sahaba Al Hikayat hairanlah hati raja Iskandar mendengar katanya itu kemudian dari itu maka bersabda raja Iskandar pada sekelian mereka itu “Duduklah kamu sekelian tuan-tuan” maka berangkatlah raja Iskandar dengan segala tenteranya berapa hari datanglah jalan mereka itu ke tepi laut. Kehendak mereka itu mendapatkan negeri sendiri dan handai maka berjalanlah mereka itu kepada bumi yang tiada berisi manusia seorang juapun. Maka berkata nabi Khidir kepada raja Iskandar “Barang maklum kiranya ke bawah tapak duli shah alam tiada ada lagi bumi berisi yang di hadapan kita ini melainkan bumi sungai dan laut hitam yang mengeliling akan dunia ini”. Tatkala didengar oleh raja Iskandar kata nabi Khidir itu demikian maka di suruh segala tenteranya berkhemah di sana maka berhentilah. Sehari berkendera dengan nabi Khidir keduanya berjalan berjalan ke tepi laut itu dilihatnya seorang orang berdiri di tepi laut itu maka berhentilah seraya memberi salam kepadanya maka di sahutnyalah salam raja itu. Maka bertanya raja Iskandar kepadanya “Siapa tuan hamba ini?” maka sahut laki-laki itu “Tiadakah tuan-tuan hamba kenal?” maka sahut raja Iskandar kepadanya “Tiada hamba kenal” maka kata laki-laki itu “Hambalah seorang daripada malaikat, nama hamba Mayaka Yala (Mikael) hambalah yang menyukat hujan yang turun dari langit ke bumi dan hambalah yang melepaskan dia dengan titah Allaha Ta Alaya”. Maka bertanya pula raja Iskandar “Siapa seorang laki-laki di sisi itu?” maka sahut Mikael “Iaitu seorang malaikat di suruhkan Allaha Ta Alaya kepadanya segala kilat dan guruh dan petir pada siang dan malam dan pada suatu bumi dengan pesuruh malaikat itu juga”. Maka bertanyalah raja Iskandar “Siapa pula seorang lagi jauh daripada tuan hamba rupanya seperti orang tuha berikat punggung dan tangannya ada suatu tongkat itu?”. Maka sahut Mikael “Itupun seorang malaikat juga di serahkan Allaha Ta Alaya segala angin ribut kepadanya. Iaitulah yang menyuruhkan segala angin kepada persegi dunia ini dengan titah Allaha Ta Alaya” maka mengucap syukurlah raja Iskandar ke hadrat tuhan Malaka Al A’lama seraya mukanya pun berseri-seri.
Arakian maka kembalilah raja Iskandar dan nabi Khidir bermalam pada khemahnya dan pada pagi-pagi hari itu maka berangkatlah raja Iskandar dengan segala tenteranya seperti adat sedia kala kepada tepi laut itu mengeliling dunia itu. Himat tiga hari tiga malam maka tiada dilihat mereka itu seorang manusia atau burung seekor atau sepohon kayu pun. Maka berjalanlah raja Iskandar dengan segala tenteranya himat dua bulan pada tepi laut itu kehendaknya raja Iskandar hendak melihat kesudahan laut Mahayatho. Maka tatkala sudah sudah lalu daripada dua bulan maka berjalanlah mereka itu suatu tempat tidurlah segala tentera itu maka kedengaranlah suatu suara amat besar bunyinya. Maka terkejutlah raja Iskandar maka bertanya ia kepada nabi Khidir “Suara apakah ini ya nabi Allaha?” maka sahut nabi Khidir “Barang diketahui shah alam bahawa itulah suara Zarazara itulah tempat datang air sungai dan segala mata air yang datang di muka bumi semuanya dari sanalah datang itu”. Bermula tatkala di dengar raja Iskandar khabar nabi Khidir demikian itu maka kata raja Iskandar kepada nabi Khidir “Ceritakan oleh tuan hamba apalah kiranya kepada hamba sebagaimana rupa Zarazara itu?” maka sahut nabi Khidir “Ya shah alam kerana Zarazara itu tiada dapat di sifatkan. Ana Shaa Allaha Ta Alaya jikalau ada lagi hayat kita esok hari sampailah kita ke sana”.
Arakian maka diamlah raja Iskandar, setelah pagi2 hari maka berangkatlah raja Iskandar dengan segala tenteranya tetapi hari itu di himpunkan baginda segala a’lama dan hakim dan segala raja-raja dibawanya berjalan bersama-sama dengan nabi Khidir dan raja Iskandar. Hingga petang hari datanglah jalan mereka itu ke sisi-sisi Zarazara itu berkhemahlah mereka itu di sana. Maka dilihat raja dan segala mereka itu segala laut dan sungai dan segala mata air yang di dalam dunia ini semuanya berhimpun di sana dan tatkala di lihat raja Iskandar perihal itu maka mengucap syukurlah ke hadrat tuhan seru sekelian alam dan berkata ia kepada nabi Khidir “Ya nabi Allaha sangatlah bahana berahi hati hamba hendak melihat rupa Zarazara itu jikalau diselamatkan Allaha kiranya hamba barang dapat hamba ceritakan kepada tuan hamba sekelian dan kepada sayada hamba Arasatholasa Hakim” maka sahut nabi Khidir “Sebagaimana akan dapat dilihat hadirkan air yang terjun itu?” maka sahut raja Iskandar “Tiada hamba tahu sebagaimana dapat melihat dia dengan budi bicara Bapa Abas. Shahdan tawakallah hamba kepada hamba Allaha Ta Alaya”.
Arakian maka kata nabi Khidir kepada segala hakim dan a’lama dan kepada orang yang ahli al hikmat di suruhnya perbuatkan raja Iskandar suatu peti daripada hikmat tatkala duduk raja Iskandar dalamnya barang yang diluar itu habis dilihatnya. Sebermula tatkala di dengar oleh segala a’lama dan hakim kata nabi Khidir itu maka dibuatnya mereka itu sebuah peti dairpada kaca habislah suatu lagi itu daripada kaca berapat ditutupnya dari dalam. Setelah dilihat raja Iskandar peti itu sudah maka bersabda ia kepada nabi Khidir “Demikian kehendak hamba pun barang di sampaikan Allaha Ta Alaya jua kiranya seperti kehendak hamba ini” maka dapatnya oleh raja Iskandar dakwat dan kalam dan sekeping kertas emas disuratnya suatu shohayafah wasiat akan nabi Allaha dan segala raja-raja dan segala hakim dan segala a’lama demikian bunyinya “Adapun bahawa hamba pergi melihat Zarazara itu jikalau kiranya disejahterakan Allaha Ta Alaya nescaya datanglah hamba dan tuan hamba nabi Allaha ganti hamba dan pangku jikalau mati aku pun nabi Allaha jangan kamu segala raja-raja tiada dengarkan kataku dan katanya pun jangan kamu lalui barang katanya. Maka barangsiapa tiada mendengar katanya tak dapat tiada binasa jua ia. Jikalau kamu mendengar katanya nescaya sejahteralah kamu sampai ke negeri kamu dan jika tiada kamu menurut katanya sahaja cerai-berailah dengan kerana tiada dapat antara kamu seorangpun yang terlebih berakal atau lebih tahu daripadanya. Jika sudahlah kepada segala pangku kepada kamu sekelian kamu tahu akan kebinasaan kataku ini sanya dan tiada ada antara kamu seorang pun damping kepada Allaha seperti nabi Allaha Alayaha Al Salama”.
Maka dikeluarkannya meterai kerajaannya maka dipalukannya kepada kepala surat itu maka diberikannya kepada tangan nabi Khidir maka kata nabi Khidir kepada raja Iskandar “Tiada hamba beri shah alam pergi dahulu daripada tempat ini. Hamba dengar dahulu firman Allaha Ta Alaya” maka sahut raja Iskandar “Mana kehendak Allaha dan bicara nabi Allaha”. Hataya maka dengan kurnia Allaha pada ketika itu juga datanglah malaikat yang biasa datang kepada nabi Khidir turun dari hadirat Allaha Ta Alaya maka berkata malaikat itu kepada nabi Khidir “Bahawa Allaha Sabahana Wa Ta Alaya berkirim salam kepada tuan hamba dengan firmannya yang sempurna. Jangan tuan hamba melarang raja Iskandar itu pergi melihat Zarazara itu sahaja dengan sejahtera ia pergi datang itu” maka malaikat itupun kembali dimaklumkan nabi Khidir kepada raja Iskandar “Sekarang mana kehendak shah alam pergilah hati yang diperhamba pun tetaplah tetapi jangan shah alam alpa daripada segala tempat hendaklah mengucap kehadrat Allaha Ta Alaya”. Tatkala di dengar raja Iskandar kata nabi Khidir demikian itu maka masuklah baginda ke dalam peti itu dan ditutupkan peti maka diikatkan oleh segala hakim dengan tali hikmat maka dihulurkannya ke dalam laut. Maka apabila sudah raja Iskandar sampai ke dalam laut maka di isyaratkannya dengan tangan ke dalam peti itu maka sabda baginda dengan suara yang maya dan nyaring “Tinggallah tuan-tuan ini sekelian seraya memberi salam”. Maka sekelian mereka itupun menyahut “Kami serahkan shah alam ke hadrat Allaha Ta Alaya tuhan yang amat kuasa dengan sempurnanya. Kami sekelian pertaruhkan ke hadratnya ialah yang sebaik-baik memeliharakan hambanya”. Hataya pada ketika itu jua hanyutlah peti itu raja Iskandar dibawa pada arus dengan angin.
Kata Sahaba Al Hikayat adapun kemudian daripada itu tatkala sudah peti itu hanyut ghaiblah pada mata segala manusia dengan titah Allaha Ta Alaya maka datanglah seekor ikan amat besar maka ditelannya peti itu. Maka pada ketika itu berkata raja Iskandar “Laa Alaha Alaa Allaha Wahadaha Laa Sharayaka Laha” dan tatkala di dengar ikan itu maka ikan itu pun menyebut seperti disebut raja Iskandar itu dan di jadikan Allaha Ta Alaya kulit ikan itu seperti hablur kaca barang yang ajaib-ajaib di dalam laut itu semuanya habislah dilihat raja Iskandar. Maka di bawanya akan raja Iskandar ke bawah tujuh petala bumi lalu kepada ikan Nun yang menanggung dunia ini. Maka dilihat raja Iskandar ikan Nun itu kepala ke Masyrik dan ekornya ke Maghrib. Maka hairanlah raja Iskandar akan peri itu maka di sebutnya “Laa Alaha Alaa Allaha” dan dilihatnya dihadapan hidung lembu itu seekor pacat maka Iblis laknat pun ada berdiri di hadapan lembu itu sebagai disuruhnya membuang akan dunia ini dari belakangnya supaya berhenti engkau daripada keberatan tatkala itu bahawa lembu itu hendak mendengar kata iblis itu. Maka kata pacat kepada lembu itu “Jangan engkau mendengar kata melawan itu sahaja kepada seksa Allaha Ta Alaya engkau” dan dilihat raja Iskandar batu Saharah itu amat besar yang gugur segala air yang mengalir dari atasnya. Maka dengan takdir Allaha Ta Alaya maka dimuntahkan ikan peti raja itu atas batu itu.
Sebermula tatkala sudah raja Iskandar keluar dari dalam perut ikan maka keluarlah baginda dari dalam peti maka dilihatnya air yang terjun ke sungai dan ke laut mengalir dan segala mata air semuanya adalah dari atas batu itu dan dari mana datangnya tiada berketahuan dan dilihat baginda tujuh petala bumi semuanya bergantung langit atas bumi. Maka di sebut raja Iskandar kalimah shahadat seraya ia berjalan ke sana ke mari maka dilihat baginda seorang orang dari jauh kelihatan maka kata orang itu kepada raja Iskandar “Siapa engkau ini selamanya aku dijadikan Allaha Ta Alaya seribu tahun lamanya aku disini tiada pernah aku lihat seorang makhluk pun sampai ke mari?”. Maka sahut raja Iskandar “Akulah yang bernama raja Iskandar anak raja Darab, Rom bangsanya aku, Zawa Al Qoranayana gelar aku, Makaduniah nama negerinya aku disuruhkan Allaha Ta Alaya kerajaan segala dahulu ke bumi ini kepada Masyrik ke Maghrib” maka kata orang itu “Engkaukah sahabat hamba Allaha yang bernama nabi Khidir Bapa Abas itu?” maka sahut raja Iskandar “Bahkan ialah aku” maka katanya “Apa kehendak mu ke mari ini?” maka sahut raja Iskandar “Bahawa aku disuruhkan Allaha Ta Alaya menjalani segala bumi ini kepada aku dari Masyrik datang ke Maghrib dan sudahlah bertemu dengan segala raja-raja di muka bumi sekelian memberi ufti akan hamba dan bukit yang mengelilingi dunia ini pun sudah hamba lihat dengan segala lautnya dan akan Zarazara itu pun sudahlah hamba lihat di tunjukkan Allaha kepada hamba dengan segala air yang turun dari atasnya akan tujuh petala bumi dengan lautnya dan segala isinya sehingga datang jalan ini kepada tuan hamba tetapi siapa nama tuan hamba?” maka kata orang itu “Hamba seorang malaikat membahagikan segala air laut yang di dalam dunia ini. Jika air laut atau air sungai atau air telaga semuanya pun di dalam tangan hambalah yang membahagikan dia”. Maka kata raja Iskandar “Kehendak hamba melihat segala air yang terjun terpancur ke atas batu seperti hamba lihat itu yang turun”. Maka kata malaikat “Dengan kuasa Allaha maha suci maka di penuhinya kehendak tuan hamba itu maka kembalilah kepada tempat tuan hamba datang itu kerana di sini tiada ada yang kau kehendak itu” dan tatkala sudahlah malaikat melarang raja Iskandar maka di dengarnya oleh malaikat itu suatu suara dari atas datangnya tiada kelihatan rupanya melainkan kedengaran suara jua. Maka ujarnya “Hai malaikat jangan engkau larang raja Iskandar itu kemana kehendak biarlah ia pergi”. Hataya maka diangkatkan raja Iskandar kepalanya hendak melihat orang yang berkata-kata itu tiada dilihatnya seorang juapun maka muramlah rupanya maka tahulah tempat tiada berisi manusia dan tiada ada suatu pun dan tiada ada kesudahan. Maka ketika itu juga kembalilah raja Iskandar kepada malaikat yang membahagikan air dilihat terduduk pada tempatnya maka memberi salam raja Iskandar kepadanya.
Maka kembalilah raja Iskandar kepada peti maka masuklah ia ke dalam peti itu maka di tutupkan pintu peti itu maka berserulah raja Iskandar demikian bunyinya “Bahawa hambamu mukmin kepadamu tuhanku kembalikan kiranya hambamu kepada taulan hamba nabi Khidir dan kepada segala tentera hamba dengan kuasa mu jua. Ya tuhanku bahawa engkaulah tuhan yang esa”. Hataya maka dengan kuasa tuhan yang menjadikan semata sekelian alam setelah sudah raja Iskandar minta doa itu maka tiba-tiba ikan menelan peti raja Iskandar yang dahulu itu pun datanglah maka ditelannya pula peti raja Iskandar itu maka dibawanya kembali kepada tempat yang dahulu itu. Tetapi raja Iskandar sebagai ia melihat di dalam perut ikan segala binatang yang memberi salam semuanya dilihatnya maka memberi salam mereka itu kepada raja Iskandar sehingga datanglah ikan itu kepada tempat ia menelan peti raja Iskandar itu. Maka di muntahkannya di sana maka dengan kuasa Allaha Ta Alaya menyuruhkan dia.
Sebermula tatkala keluarlah peti raja Iskandar daripada perut ikan itu maka terumbang-ambinglah peti itu maka dilihat segala tenteranya daripada daratnya maka mengucap syukurlah segala raja-raja dan segala hakim dengan beribu-ribu syukurnya. Maka dilihat raja Iskandar hadir segala raja-raja dan segala tenteranya semuanya itu ber diri di tepi laut atas kenderaannya menantikan raja Iskandar di dalam hatinya “Siapa gerangan memberi tahu akan tentera aku ini maka di nantikannya akan aku di tepi laut ini” maka kata yang memberitahu nabi Khidir Alayaha Al Salama daripada petang itu datang kepada awal subuh “Pagi-pagi hari kamu nantikan raja Iskandar di tepi laut itu”.
Sebermula tatkala dimuntahkan ikan akan peti raja Iskandar itu maka dititahkan Allaha Ta Alaya angin bertiup dari laut memberi peti itu ke darat akan tali air pun memagikan ia kedarat dengan kudrat Allaha Ta Alaya maka peti itupun nyatalah dilihat segala tentera baginda di darat pada ketika itu juga datang peti itu maka raja Iskandar itu ke darat. Pertama membawa peti raja Iskandar itu nabi Khidir dan Balanasa Hakim maka di bawanya lalu dibukanya raja Iskandar peti itu seraya baginda berdiri maka keluarlah baginda lalu berpeluk berdakap dengan nabi Khidir dan Balanasa Hakim dan segala a’lama dan segala orang besar-besarnya dan segala menteri dan sayada-sayada bentara hulubalang sekelian menjunjung duli baginda. Maka sukacitalah hati segala raja-raja dan raja Iskandar dan segala tenteranya yang kecil besar.
Maka berkenderalah raja Iskandar kembali kepada khemahnya dan duduklah baginda di atas tahta kerajaannya. Maka berhatur berkeliling daripada kerusi emas dan perak dan pancakukam semuanya bertatahkan ratna mutu manikam. Maka duduklah atas kerusi itu segala hakim dan segala raja-raja dan menteri sayada-sayada bentara hulubalang sekelian telah hadir mengadap baginda masing-masing pada darjat martabat seketika maka berceritalah raja Iskandar akan segala peri yang dilihatnya itu sekelian dikatakannya kepada segala mereka. Maka hairanlah hati sekelian yang mendengar khabar baginda itu maka sembah mereka itu kepada baginda “Ya shah alam bahawa yang telah dilihat shah alam itu tiadalah dapat seorang makhluk pun ada melihat demikian itu melainkan Nawara(Nur) Allaha dan Walaya(Wali) Allaha juga” hingga kelamlah hari maka berangkatlah raja Iskandar masuk ke dalam khemahnya dan dan kembalilah sekelian mereka itu ke khemahnya.
Sumber: Hikayat Iskandar Zawa Al Qoranayana - Kitab ke 2
No comments:
Post a Comment