Ba Sama Al Laha Al Rohamana Al Rohayama
Bacalah dengan nama tuhan kamu yang menjadikan. Menjadikan manusia dari segumpal darah. Bacalah dan tuhan kamu yang keramat. Yang mengajarkan dengan kalam. Mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya. Al A'laqo

Friday, December 5, 2014

Asal Usul Melayu dan sejarah Langkasuka.

Basama Allaha Al Rohamana Al Rohayama

Al Hamada Lalaha Roba Al A'alamayana Dengan nama Allaha tuhan yang amat murah lagi yang amat mengasihani akan sekelian hambanya. Segala puji bagi Allaha tuhan seru sekelian alam. Wa Al Sholaata Wa Al Salaama A'laya Nabayaha Dan rahmat dan salamnya atas yang di ambilnya akan nabi Mahamadaa Aladzaya Laa Nabaya Baa'daha Adapun nabi Mahamada itu yang tiada nabi kemudian Wa A'laya Alaha Wa Shohabaha Aladzaya Yajaahadawana Ba Hamadaha Dan atas keluarganya dan segala sahabatnya mereka itulah yang usahakan memuji dia.

Wa Baa'da Qoala Faqoyarofa Ba Al Fakhorofa Al Taqosayaro Kemudian daripada itu telah berkata fakir yang insaf akan lemah keadaan dirinya dan singkat pengetahuan ilmunya. Adalah pada suatu masa zaman sultan Maa'zhoma Syah abana sultan Mazholafala Syah yang maha mulia kerajaannya negeri Kedah pada suatu hari baginda keluar ke pengadapan di hadapi oleh segala menteri hulubalang serta alim mualim. Maka fakir pun hadirlah mengadap baginda penuh sesak di pengadapan itu membicarakan negeri dan mengaji kitab.

Setelah itu maka titah duli baginda yang maha mulia junjungkan ke atas jemala fakir demikian titah yang maha mulia "Bahawa hamba pinta perbuatkan hikayat pada tuan peri peraturan segala raja2 MELAYU dengan istiadatnya sekali supaya boleh di ketahui oleh segala anak cucu kita yang kemudian daripada kita ini serta di kurniai dengan sejahteranya. Setelah fakir Aladzaya Tarokaba A'laya Jaahala Maka fakir pun perkajanglah diri pada mengusahakan dia. Shahdan memohonkan taufiklah fakir ke hadrat tuhan Shoanaa' Al A'alama dan meminta huruf kepada Sayada Al Anaama dan meminta Afawaaha kepada keempat sahabat yang Akaroama.

Hataya maka fakir pun mengaranglah hikayat ini maka di namai akan dia Salaalata Al Salaathoyana iaitu peraturan segala raja2. Hadzaha Dawaaro Al Akhobaaro Wa Ghorowaro Al Amatsaala Inilah menyata segala ceritera dan segala cahaya perumpamaannya maka barang siapa membaca dia janganlah di bicarakan lagi terlalu amat sempurna bicaranya kerana hikayat ini tahulah kami akan perkataan kerana sabda nabi Sholaya Allaha A'layaha Wa Salama Tafakaro Wa Faya Zaata Allaha yakni bicarakan olehmu pada segala kebesaran Allaha jangan kamu fikirkan pada zat Allaha.

Ketahuilah olehmu kepada zaman dahulukala dan pada zaman masa yang telah lalu kata yang empunya cetera ini maka adalah kepada suatu masa sedang zaman nabi Allaha Sulaiman A'layaha Al Salama naik jadi raja yang tetap di atas tahta kerajaan di kurnia Allaha Taa'alaya di dalam dunia ini memerintahkan daripada segala makhluk khalayak yang berjenis bangsanya yang di jadikan Allaha Sabahaanaha Wa Taa'alaya di dalam dunia ini.

Di titahkan oleh tuhan seru sekelian alam memerintahkan isi alam dunia ini di dalam hukum nabi Allaha Sulaiman A'layaha Al Salama tiada boleh hendak melalui daripada hukumnya baik daripada binatang yang melata di bumi dan yang terbang di udara sekeliannya dalam hukumnya nabi Allaha itu beberapa banyak bukit gunung pulau yang menjadi pasak dunia ini yang di diami oleh makhluk.

Sebermula maka tersebutlah perkataan pulau Langkapuri itu selama peninggal perang Seri Rama dan Andaman jadi sunyilah pulau itu tiada siapa2 duduk. Maka datanglah seekor burung garuda yang amat besarnya ia itu asalnya daripada anak cucu maharaja dewata. Maka burung garuda itulah yang diam di pulau itu mencari makan maka burung garuda itupun pada masa zaman Seri Rama dan Andaman biasa masuk perang banyak juga kesaktian dan banyak juga segala binatang yang terbang dan berjalan di bumi takut akan dia.

Maka pada suatu hari datanglah seekor burung Rajawali kepada burung garuda itu katanya "Adakah tuan hamba beroleh khabar bahawa raja Rom itu beroleh seorang anak laki2 sekarang ini ia hendak meminang anak raja benua Cina kerana negeri kedua itu terlalulah jauhnya sebuah negeri itu sebelah matahari naik dan sebuah negeri di sebelah matahari mati. Maka kehendaknya raja Rom itu hendak menghantarkan anaknya itu berperahu dan berlayar" maka kata burung garuda itu kepada burung Rajawali "Mana tuan hamba beroleh warta ini".

Maka kata burung Rajawali "Beroleh warta daripada burung Kakaktua ialah yang melihat orang membawa utusan dan penumah dari benua Rom hendak pergi ke benua Cina. Maka hamba pun terbang melintas melihat kelakuan itu nyatalah adanya seperti warta itu kerana raja Rom itu hendak menunjukkan kebesarannya. Mana yang tiada dapat di kerjakan oleh segala raja2 dalam dunia ini ialah konon hendak mengadakan dan menghantarkan".

Maka kata burung garuda kepada burung Rajawali "Di mana dapat ia sekelian hendak mengerjakan pekerjaan itu. Pada fikirku tiada boleh jadi tetapi nantilah dahulu aku hendak pergi mengadap nabi Allaha Sulaiman kerana ia itu raja besar di dalam alam dunia ini. Jikalau sudah ada seperti yang demikian itu tiadalah kuberi jadi pekerjaan nikah keduanya anak raja dua buah negeri itu". Setelah di dengar oleh burung Rajawali kata burung garuda itu maka iapun bermohon kepada burung garuda lalu ia terbang.

Setelah itu maka burung garuda itupun terbanglah naik ke udara sampai pergi mengarus awan udara berasaplah kelihatan dunia ini. Bahawa pada ketika itu datanglah seekor burung garuda yang terlalu amat besarnya turun mengadap nabi Allaha Sulaiman sembahnya "Ya nabi Allaha hamba dengar warta raja Rom menaruh seorang anak laki2 dan raja benua Cina ada menaruh seorang anak perempuan. Maka sekarang raja Rom itu hendak meminang anak raja benua Cina konon akan rupa kedua anak raja itu terlalu amat eloknya tiadalah lagi bandingnya akan rupa keduanya itu dan kedudukan negeri itu terlalulah jauh. Pada fikir hamba bukanlah judu pertemuan".

Maka sabda nabi Allaha Sulaiman "Hai burung garuda demi tuhan yang menjadikan aku adapun judu pertemuan itu di dalam batu atau di dalam kayu sekalipun tiada siapa yang dapat menceraikan dia". Maka sembah burung garuda "Ya nabi Allaha akan pekerjaan itu atas hambamulah menceraikan dia. Jika tiada dapat hamba menceraikan anak raja kedua itu nescaya hamba undurlah daripada bawah langit dan atas bumi daerah tempat kediaman segala manusia sekelian ini". Maka sabda nabi Allaha Sulaiman "Baik perbuatlah oleh tuan hamba barang kuasa engkau tetapi pesanku kepada engkau tatkala sudah tetap engkau boleh menceraikan judu pertemuan manusia itu hendaklah engkau datang kemari khabarkan kepada aku" maka sembah burung garuda "Baiklah ya nabi Allaha".

Setelah sudah maka burung garuda pun bermohonlah kepada nabi Allaha Sulaiman lalu terbanglah ia pergi ke benua Cina. Hataya beberapa lamanya ia terbang itu maka sampailah ke benua Cina lalu di lihatnya segala perintah raja benua Cina itu nyatalah seperti warta burung Rajawali itu adanya jadi berkahwin. Maka adalah kepada suatu hari pergilah tuan puteri anak raja benua Cina itu bermain ke taman lalu memungut segala bunga2an dan buah2an. Setelah di lihat oleh burung garuda tuan puteri itu duduk di dalam taman memungut segala bungaan2 dan buahan2 lalu iapun terbanglah menuju pergi kepada tuan puteri itu ke dalam taman.

Serta sampai lalu di sambarnya tuan puteri itu dengan mulutnya serta di genggam dengan kukunya yang kanan maka mak inang tuan puteri serta dengan kendongnya seorang budak perempuan. Maka keduanya itupun di sambar dengan kukunya kaki kiri di genggamnya lalu di bawa terbang mereka itu menuju ke pulau Langkapuri halanya itu ke sebelah laut selatan. Setelah sampai ke pulau Langkapuri itu lalu di bawa turun kerana sudah ada tempatnya seperti rupa sebuah mahligai tempat itulah di taruhkannya tuan puteri itu tiga dengan sahayanya. Serta di carinya makanan di hantarkan kepada tuan puteri itu barang di kehendakinya di cari oleh burung garuda itu di beri akan tuan puteri dan sahayanya kedua itu.

Sebermula maka tersebutlah perkataan raja Rom sedang di hadap oleh segala raja2 yang besar2 yang bermahkota dengan segala menteri dan para pegawai hulubalang sida2 bentara biduanda sekelian penuh sesak di bali paseban agung bermesyuarat bicara hendak menghantarkan anakanda baginda itu ke benua Cina serta menghadirkan segala kelengkapan bahtera dan kapal dan mencari harapan akan ganti baginda itu. Maka adalah dalam banyak segala raja2 yang duduk mengadap itu adalah seorang raja yang besar lagi bermahkota sahabat kepadanya bernama Raja Merong Maha Wangsa. Adapun raja itu ayahnya daripada INDERA dan bondanya itu asal daripada DEWA.

Maka terbukalah pintu hatinya gemar dan suka ia beristeri akan anak raja gergasi kerana puteri itu kecil lagi baik rupa parasnya dan asal bondanya daripada raksasa. Maka jadi tiadalah suka bondanya itu raja Merong Maha Wangsa akan dia beristeri akan tuan puteri itu. Maka oleh Merong Maha Wangsa barang kemana ia pergi di bawanya pergi isterinya itu bersama2 dengan dia tiada di tinggalkan dengan segala menteri para pegawai hulubalang sida2 bentara biduanda rakyat sekelian kerana raja Merong Maha Wangsa itu ia ketahui ilmu kesaktian dan di takuti oleh sekelian raja2.

Maka titah sultan Rom kepada raja Merong Maha Wangsa "Hai saudara hamba hendaklah saudara pergi ke benua Cina ganti hamba membawa pergi paduka anakanda ini kahwinkan dengan anak raja Cina". Maka sembah raja Merong Maha Wangsa "Baiklah tuanku barang yang di titahkan itu patik kerjakan tuanku". Setelah itu maka sultan Rom pun menghadirkan sebuah bahtera akan kenaikan anakanda itu dengan segala anak menteri pegawai hulubalang dengan empat puluh anak raja2 dan sebuah bahtera akan kenaikan raja Merong Maha Wangsa dengan segala menteri para pegawai hulubalang rakyatnya mengiringkan anak raja Rom itu lain daripada bahtera dua buah itu beberapa pula banyak kapal dan koci yang bersama2 mengiring akan anak raja itu.

Hataya setelah sudah lengkap maka pada ketika hari sangat yang baik maka raja Merong Maha Wangsa pun mengangkatkan layar serta segala kapal dan koci yang serta bersama mengiringkan itu semuanya di suruh naikkan segala layarnya. Maka segala kapal itupun membongkarkan sauhnya serta menaikkan layar masing2 lalu berlayar sekelian mengikut bahtera anak raja Rom dan bahtera raja Merong Maha Wangsa setengah dahulu setengah kemudian bertaburan penuhlah laut itu menuju halanya ke benua Cina.

Hataya beberapa lamanya berlayar daripada negeri Rom itu maka sampailah ke tengah arungan dengan beberapa melalui kuala negeri segala raja2 yang takluk kepada raja Rom. Maka sekelian raja2 itupun datanglah menghantarkan makanan dan hadiah berbagai2 jenisnya daripada sebuah negeri kepada sebuah negeri kerana sekelian itu negeri yang besar2 jua takluk ke benua Rom. Maka dengan hal yang demikian pelayar itupun sampailah ke laut sebelah Hindustan. Maka terlalu banyak segala yang ajaib dan yang indah2 kelihatan pada mata sekeliannya itu. Maka di pintasi juga belayar merentas segala tanjung terlalulah ramainya belayar itu.

Adapun pelayaran angkatan anak raja Rom hendak pergi kahwin ke benua Cina itu adalah seperti burung terbang ke sarang dan tiangnya seperti batang papar lakunya barang di mana berlabuh dan berhenti itu seperti pulau yang besar serta dengan segala bunyian2 pun di palu oranglah terlalu azmat bunyinya seperti akan terangkatlah lautan itu tambahan pula dengan bunyi bedil meriam pun terlalu banyak. Maka bahanya bunyi bedil meriam yang di pasang itu seperti bunyi guruh dan takur terlalu amat gempita alamat di dalam laut itu tiadalah dengan kemasygulannya melainkan dengan kesukaan belaka.

Barang di mana berjumpa dengan pulau singgah berlabuh naik ke daratan mengambil air dan kayu serta mandi sekelian dan memungut daripada ketam siput karangan serta mengambil tali akar dan umbut kayu pucuk kayu akan makanan segala yang bernafsu di dalam kapal dan bahtera terlalulah kesukaan sekeliannya. Adapun sekeliannya berlayar itu tiada juga jauh daripada tanah daratan hingga kelihatan jua daratan itu maka sampailah ke laut kuala Canggung namanya dan nama rajanya negeri itu Kelinggi. Maka kelihatanlah pada mata sekelian datang laduh redum dari sebelah matahari hidup itu seperti hendak menimpa atas segala kapal koci bahtera.

Maka tengah berlayar itu datanglah kelam kabut guruh petir dengan hebat dahsyat datangnya itu seperti pohon angin ribut yang besar rupanya. Maka bahtera kebanyakan anak raja Rom itupun mendekati kenaikan raja Merong Maha Wangsa maka titah anak raja Rom suruh bertanya apa juga yang datang di hadapan itu seperti hendak menimpa di atas segala perahu itu. Maka raja Merong Maha Wangsa pun segeralah naik ke atas beranda bahteranya dengan alat senjatanya.

Demi di lihat oleh raja Merong Maha Wangsa yang datang itu bukannya daripada angin ribut taufan hanya bunyi sayap burung juga akan datang rupanya hendak merosakkan segala perahu yang banyak sekeliannya. Maka raja Merong Maha Wangsa pun bertitah kepada sekeliannya suruh beringat2 alat senjata masing2 tangan serta mengisi ubat bedil meriam jangan di alpakan. Demi di dengar oleh sekeliannya titah raja Merong Maha Wangsa yang demikian itu maka sekelian itupun mengerahlah sekelian orangnya suruh beringat2 serta memegang senjata masing2 di tangannya.

Adapun burung garuda itu setelah nyatalah angkatan anak raja Rom itu maka datanglah marahnya lalu iapun terbang datang menyambar langsung di halakannya ke sebelah matahari jatuh. Maka raja Merong Maha Wangsa pun menarik busar anak panahnya yang bernama Ayunan itu ke udara bergemuruhlah bunyinya seperti halilintar membelah. Maka segera di tangkiskan dengan sayapnya tiada kena maka segala yang memasang bedil meriam itupun di pasangnya hala ke langit tiadalah berhenti lagi. Jikalau guruh petir di langit pun tiadalah kedengaran lagi terlalu azmatnya.

Demi di lihat oleh burung garuda terlalu banyak alat senjata yang datang hendak mengenai dia maka iapun tiada ambil tahu kerana tiada memberi guna kepada burung garuda itu habis berterbangan pergi hala ke lain ke sana ke mari. Setelah demikian datang pula burung garuda itu serta menurunkan guruh hujan angin ribut datangnya itu dari sebelah selatan lantas ke utara. Demi di lihat oleh raja Merong Maha Wangsa hal kelakuan burung garuda itu kesaktian menurunkan hujan angin ribut guruh petir itu maka segeralah ia mengambil anak panah yang bernama Ayunan bicara menahankan angin ribut burung garuda itu hujung merah seperti api.

Demi di tariknya busarnya lalu di panahkannya ke udara bergemuruh seperti taufan bunyinya di udara itu seketika lagi datanglah suatu gunung dari udara menahani daripada angin ribut taufan yang datang daripada burung garuda itu. Maka burung garuda itupun terlepaslah ia kesebelah utara mencarikan alpa anak raja Rom tiga buah bahtera itu hendak di rosak tenggelamkan kapal anak raja Rom itu ke dalam laut. Maka daripada tiada berhenti datang senjata kena kepada tubuhnya burung garuda itu maka iapun tiada memberi guna kepadanya. Maka burung garuda itupun ghaiblah terbang pergi halanya ke darat lantas ke hutan rimba belantara.

Maka raja Merong Maha Wangsa hendak membalas panah sekali lagi tiada sempat kerana burung garuda itu terlalu cepat dan tangkas ia terbang itu. Maka hari pun malamlah lalu berhenti raja kesaktian terlebih daripada segala raja2 yang lain pada zaman itu maka burung garuda itupun duduk diam mencari alpa hendak di rosakkan juga. Adapun akan anak raja Rom dengan raja Merong Maha Wangsa itupun berkampunglah pada malam itu serta menanti burung garuda itu kalau2 datang melanggar ia sekelian tiada jua akan datang lalu berlayarlah pula daripada laut kuala morib menuju susur daratan jua antara berapa hari lamanya berlayar itu lalu kelihatanlah pula pulau Salang antara laut Bangtapan namanya.

Oleh raja Merong Maha Wangsa di suruh orang pergi kepada anak raja Rom itu mengatakan ia sebuah bahtera itu hendak singgah kepada pulau itu kerana keputusan air dan kayu dan segala kenaikan anak raja Rom itupun sekeliannya janganlah berhenti berlayarlah kerana burung garuda tiada sudah ia mari melanggar kita lagi kerana banyaklah hari sudah tiada kalau ia hendak datang selama ini datanglah sudah melanggar kita seperti yang terlah lalu itu. Maka utusan yang di suruh oleh raja Merong Maha Wangsa itupun berlayarlah pergi menuju bahtera anak raja Rom itu serta sampai lalu sembahkan seperti titah raja Merong Maha Wangsa itu kepada anak raja Rom itu.

Maka titah anak raja Rom kepada orang itu baiklah maka utusan itupun menyembah lalu kembali kepada raja Merong Maha Wangsa di maklumkan seperti titah anak raja Rom itu. Maka raja Merong Maha Wangsa pun singgahlah kepada suatu pulau mengambil air maka anak raja Rom sekelian itupun berlayarlah menuju kepada tanjung hujung Salang. Maka kapal dan koci sekelian pun mengiringkan bahtera anak raja Rom itu. Hataya tiada beberapa lamanya belayar adalah kira2 sehari semalam lagi hendak sampai ke pulau Langka Puri itu. Maka terlihatlah kepada burung garuda angkatan pelayaran anak raja itu lalu di nantikan hari malam. Setelah itu bahtera raja Merong Maha Wangsa pun singgah kepada suatu pulau mengambil air kayu.

Maka garuda pun datanglah seperti ribut taufan yang teramat besar menyembur dan memukul dengan sayapnya dan menendang dengan kakinya kepada bahtera anak raja Rom itu hingga habislah karam tenggelam segala kapal dan koci itu orang pun banyaklah mati daripada yang hidup sepanjang laut itu. Maka tatkala itu anak raja Rom pun berpegang pada suatu papan di dalam laut itu dengan seorang dirinya. Habislah binasa segala kapal dan koci serta sekelian bahtera anak raja Rom itu. Pada sangka hari burung garuda itu matilah sudah anak raja Rom itu maka iapun kembalilah ke pulau Langka Puri. Adapun akan raja Merong Maha Wangsa setelah hari sudah siang lalu iapun berlayarlah menurut anak raja Rom itu adanya.

Shahdan tiada berapa lamanya berlayar itu sampailah kepada tempat anak raja Rom rosak itu lalu bertemu dengan orang berenang di ambilnya dan bertanya. Maka di hikayatkan orang itu segala halnya yang di binasakan oleh burung garuda pada malam tadi. Demi di dengar oleh raja Merong Maha Wangsa yang demikian itu maka di suruhlah kapal pergi mencari kalau bertemu dengan anak raja Rom itu. Maka di carikan oranglah tiada berjumpa sehingga bertemu dengan orang lain juga bertaburan segala orang itu.

Berapa hari lamanya raja Rom itu tiada berjumpa dengan siapa2 juapun maka raja Merong Maha Wangsa pun terlalulah masygul kerana ia suatu harapan yang besar kepada sultan Rom itu biarlah sudah di suruh cari pada segala menteri para pegawai hulubalang sekelian tiada juga bertemu. Maka raja Merong Maha Wangsa pun berlayarlah hala kebelah timur dengan bahteranya menyusur daratan tanah besar itu sambil mencari anak raja itu.

Hataya dengan hal yang demikian maka sampailah kepada suatu teluk dengan suatu tanjung maka raja Merong Maha Wangsa pun bertanya pada seorang mualim yang tuha di dalam bahtera itu. Maka katanya bahawa pulau yang besar itu baharu hendak bersaut dengan daratan itu bernama pulau Serai dan suatu pulau yang kecil itu bernama pulau Jambul dan ke daratan sedikit bernama pulau Lada atau Ankar. Maka titah raja Merong Maha Wangsa "Jika demikian singgahlah berlabuh kita di tanjung pulau itu" maka berlayarlah bahtera itu menuju tempat yang di titah oleh raja Merong Mahawangsa itu.

Setelah sampai maka berlabuhlah bahtera itu maka raja Merong Maha Wangsa pun dengan segala menteri hulubalang naik ke daratan. Maka tatkala itu datanglah kaum gergasi orangnya besar2 terlalu banyak datang mengadap raja Merong Maha Wangsa. Maka raja Merong Maha Wangsa pun sudah ketahui bangsanya gergasi lalu di tegurnya dengan manis suaranya mengambil hatinya. Maka segala kaum gergasi itupun takutlah akan raja Merong Maha Wangsa itu serta hebat sikapnya tiada berlawan pada zaman itu dan yang melihat akan dia itu takut dan gentar sekeliannya daripada segala bangsa.

Maka titahnya kepada segala kaum gergasi yang datang itu "Adapun beta singgah di sini ini jikalau baik2 bicaranya mahulah beta duduk berhenti di sini dahulu sementara menanti mengambil khabar anak raja Rom itu kalau2 ada hidupnya". Maka sembah segala kaum gergasi itu "Patik sekelian pun lebih lagi kesukaan kerana patik sekelian ini tiada menaruh raja pada tempat ini. Jikalau demikian baiklah duli tuanku cuba berangkat melihat tanah ini yang patut tempat hendak duduk".

Maka raja Merong Maha Wangsa pun berjalanlah hendak melihat susuk tanah tempat hendak di perbuat kota parit balai istana di iringkan oleh kaum gergasi dengan segala menterinya lalu bertemulah dengan tanah bumi yang baik terlalulah indah tempatnya dengan tanahnya menjadi tiadalah turun ke bahteranya gila dengan membuat kota istana dengan balainya yang terlalu amat besarnya lagi dengan indahnya.

Setelah sudah balai itu maka di namai akan dia Langkasuka kerana mengerjakan itu dengan makan minum dan bersukaan2 serta dengan beberapa binatang jenisnya daripada rusa kijang pelanduk napah sapi dengan segala perburuan yang di makan oleh sekeliannya terlalu amat kesukaannya serta dengan tepuk tarinya segala kaum itu kerana mereka itu tiada beraja hanya berpenghulu sahaja dan lagipun dengan baik bahasanya raja Merong Maha Wangsa itu. Setelah sudah lengkap kota istana kemudian segala menteri hulubalang pun masing2 perbuatlah rumah dan kampung di aturnya berkeliling kota rajanya.

Setelah sudah sekeliannya itu maka masing2 pun datanglah mengadap rajanya sehari2 maka termahsyurlah raja Merong Maha Wangsa itu sudah duduk menjadi raja pada tempat itu. Maka segala dagang santeri pun berhimpunlah datang berniaga ke dalam negeri itu dengan baik budi bahasanya baginda itu serta dengan menteri sekelian itu. Tiadalah merasai kesakitan segala rakyat mencari makan pergi mari ke negeri maka banyaklah orang yang telah berpindah dengan anak isterinya pergi duduk bersama2 raja Merong Maha Wangsa.

Makinlah bertambah2 rakyatnya daripada sebulan kepada sebulan daripada setahun kepada setahun makin banyak segala orang pindah ke negeri itu maka tetaplah raja Merong Maha Wangsa di atas tahta kerajaan dengan adil murahnya. Demikianlah di perintahkan oleh baginda itu tiadalah lagi beroleh melainkan bertambah2 kebajikan di dalam negeri itu.

Sumber: Hikayat Merong Maha Wangsa