Hataya tersebutlah perkataan raja
Melaka pada suatu hari pada ketika yang senang baginda duduk semayam di adap
oleh Bendahara dan Laksamana dan segala pegawai sekelian. Maka titah baginda
“Ayuh Mama Bendahara dan Laksamana pada bicara kita hendak merajakan anak kita
yang perempuan ini akan ganti kita jadi raja di negeri Melaka ini kerana kita
pun sudah tuha”. Maka sembah Bendahara dan Laksamana “Daulat tuanku syah alam
sebenarnyalah seperti titah duli yang maha mulia itu”. Maka titah baginda
“Jikalau demikian segeralah Mama Bendahara dan Laksamana berlengkap kerahkan
segala pegawai dan petuanan memulai berjaga2” maka sembah Bendahara dan
Laksamana “Daulat tuanku mana titah patik junjung” maka di kerjakan oranglah
seperti titah baginda itu.
Setelah genap empat puluh hari
empat puluh malam maka puteri Gunung Ledang pun di hiasi dengan pakaian
kerajaan dengan selengkapnya. Setelah sudah maka puteri Gunung Ledang pun di
naikkan baginda ke atas peterana yang keemasan yang bertatahkan ratna mutu
manikam berumbai2kan mutiara. Maka pedang kerajaan pun terpikul oleh anak raja2
terdiri kiri dan kanan puteri Gunung Ledang itu maka nobat tabal pun di palu
oranglah tujuh kali sehari berturut2 di tabal baginda akan puteri Gunung Ledang
pun di langiri baginda seperti adat raja2 bersiram naik raja. Maka nasi
semangat pun di angkat oranglah ke hadapan puteri Gunung Ledang yang mengangkat
hidangan itu semuanya menyandang tetapan kekuningan belaka.
Setelah sudah maka baginda pun
berangkat keluar maka hidangan pun di angkatkan oranglah ke balairong beratus2
maka segala menteri hulubalang pun makanlah pada masing2 hidangannya. Setelah
sudah makan maka datang pula hidangan minuman dan tambal pelbagai rupanya dan
rasanya. Maka piala yang bertatahkan ratna mutu manikam itupun di peredarkan
oranglah pada segala menteri pegawai hulubalang sekelian maka minumlah sekeliannya
terlalu ramai dengan tepuk tarinya.
Setelah sudah makan maka baginda
pun memberi nama akan anakanda baginda dan memberi nama akan anak Bendahara
yang bernama Tun Mat itu Bendahara Paduka Raja dan anak Temenggung yang bernama
Tun Karim itu di gelar Temenggung Seri Seroja dan anak Laksamana yang bernama
Tun Qodim itu di gelar baginda Laksamana maka semuanya masing2 dengan
pakaiannya. Anak sungai dan teluk rantau seperti adat Bendahara dan Temenggung
dan Laksamana itulah di kurnia baginda akan segala yang di gelar itu maka
baginda pun duduk di istana suku yang memegang kerajaan puteri Gunung Ledang
itu.
Bermula Bendahara dan Temenggung
dan Laksamana pun demikian juga masing2 memangku akan gelaran anaknya itu. Maka
tatkala itulah kota negeri Melaka di suruh baginda tebang buangkan maka di
kotai dengan meriam yang besar2 di atur berkeliling negeri Melaka itu berlapis2
dengan meriam itu juga. Demikianlah negeri yang hendak di binasakan Allaha
Taa’alaya itu tiada dapat segala makhluk mengetahui yang tiada patut dengan
akal ahli al kira2 itu di kerjakan segala yang takbur.
Setelah sudah maka pada suatu
hari baginda duudk di adap oleh Bendahara dan Temenggung dan Laksamana maka
titah baginda “Hai Temenggung suruhkan memalu mang2 berkeliling negeri kita ini
serta membawa emas dua talam berkeliling negeri ini. Katakan titah kita suruh
tanya segala rakyat kita siapa yang bercakap di tanam raja hidup2 kerana kita
hendak mendengar khabar di dalam kubur emas dua talam itulah anugerah kita akan
orang itu kerana khabar di dalam dunia ini semuanya habis kita dengar. Maka
yang tiada kita dengar lagi hanyalah khabar orang di dalam kubur itu maka
seorang pun tiada kembali yang sudah mati itu”.
Maka Temenggung pun menyembah
serta mengambil emas dua talam tu di bawanya pulang ke rumahnya seraya menyuruh
orang memalu mang2 serta membawa emas itu berkeliling negeri mengatakan seperti
titah raja itu tujuh hari berkeliling negeri itu. Tiada siapa2 yang bercakap di
tanam seperti titah raja itu maka orang itupun kembali memberi tahu Temenggung
maka Temenggung pun segera masuk mengadap di persembahkan emas dua talam itu
pada raja. Maka sembah Temenggung “Daulat tuanku syah alam adapun patik di
titahkan memalu momongan itu seorang pun tiada bercakap seperti titah duli yang
maha mulia itu”.
Setelah baginda mendengarkan
sembah Temenggung itu maka baginda pun memandang ke kiri dan ke kanan lalu
berdiam dirinya. Setelah di lihat oleh Laksamana dan di dengarnya titah raja
demikian itu maka Laksamana pun berdatang sembah “Daulat syah alam sembah patik
sembah derhaka harapkan ampun duli syah alam di atas batu kepala patik hamba
yang hina. Adapun patik menjadi hamba mengerjakan barang pekerjaan duli syah
alam daripada umur patik sepuluh tahun hingga sampai pada ketika ini tiada di
janjikan Allaha Taa’alaya mati dan luka.
Maka ini patik pun sudahlah tuha
biarlah patik mati dengan pekerjaan duli syah alam kerana nyawa patik ini
jikalau ada seribu sekalipun dengan tulus ikhlas hati patik persembahkan ke
bawah duli yang di pertuan. Usahkan duli syah alam mencahari orang yang lain
siapatah yang bercakap hendak mati itu jadi sia2lah sahaja di dengar oleh
segala khalayak yang banyak titah syah alam itu Ana Shaa Allaha Taa’alaya
biarlah patik kerjakan seperti kehendak hati duli yang di pertuan itu”. Setelah
baginda mendengar sembah Laksamana demikian maka baginda pun terlalu sukacita
seraya bertitah “Manakalatah Laksamana hendak kerjakan seperti kata Laksamana
itu kerana kita hendak pergi bersama2 Laksamana pada tempat yang di tanam itu
kita hendak melihat sendiri”.
Maka sembah Laksamana “Daulat
tuanku mana titah patik junjung tetapi patik pohonkan ke bawah duli syah alam
bertangguh tiga hari lagi tetapi patik pohonkan duli yang di pertuan mengadapi
sendiri tatkala patik akan di tanam itu. Tatkala patik gerakkan suatu tali
alamat itu maka hendaklah duli syah alam suruh orang segera gali bangat2”. Maka
titah baginda “Baiklah mana kata Laksamana kita ikut” maka baginda pun
berangkat masuk maka Laksamana pun menyembah lalu kembali ke rumahnya. Maka khabar
Laksamana hendak di tanam oleh raja itu mahsyurlah rata negeri Melaka itu maka
sekelian orang datanglah berhimpun hendak melihat Laksamana di tanam oleh raja
itu.
Arakian maka datanglah kepada
tiga harinya maka Laksamana pun menyuruh isterinya berbuat apam tiga buah.
Setelah masak apam itu maka Laksamana pun makanlah apam itu dua buah maka yang
sebuah lagi itu daripada sedikit di makan oleh Laksamana maka yang lebih itu di
masukkan oleh Laksamana di dalam tangan bajunya. Maka tatkala itu biduanda
kecil pun datang memanggil Laksamana di suruh oleh raja kerana baginda sudah
berangkat dengan Bendahara dan menteri pegawai sekelian rakyat hina dina
menanti Laksamana pada tempat yang hendak di tanam itu maka Laksamana pun
turunlah daripada rumahnya lalu berjalan di iringkan oleh biduanda kecil itu.
Setelah Laksamana sampai keluar
pintunya maka datang seorang darwis serta ia memberi salam akan Laksamana
katanya “Al Salaama A’laya Kama ya orang kaya Laksamana beri apalah akan hamba
barang yang ada pada orang kaya bawa itu”. Maka sahut Laksamana salamnya darwis
itu katanya “Wa A’layaka Al Salaama ya tuan hamba suatu pun tiada perhamba
hanyalah ada pada hamba bawa ini sebuah apam ini pun sudahlah hamba makan
sedikit”. Maka kata darwis itu “Baiklah barang yang di beri Allaha hamba
syukurkanlah kerana hamba sangat kelaparan” maka apam itupun di berikan
Laksamana pada darwis itu lalu di makannya maka Laksamana pun berjalanlah
segera2 ia pergi pada raja.
Setelah sampai pada tempat kubur
orang itu Laksamana pun masuk di dalam orang banyak itu. Setelah raja melihat
Laksamana datang itu maka titah raja “Marilah kita menanti dari tadi” maka
Laksamana duduk menyembah. Maka tatkala itu liang pun sudah sedia di gali orang
maka Laksamana pun di bungkus orang seperti adat mengapan orang mati sungguh
rupanya. Setelah sudah maka di masukkan oranglah tubuhnya ke dalam keranda lalu
di turunkan ke dalam liang. Maka di bubuh suatu tali pada tangan Laksamana
hujungnya tali itu pun di bawanya ke atas tebing liang itu maka keranda itupun
di kambuskan oranglah di penuh tanah seperti adat menguburkan orang mati.
Setelah sudah maka datanglah
seorang imam besar mentalqinkan setelah segala orang banyak pun di halaukan
raja keluar raja seorang juga yang duduk memegang hujung tali. Maka di nanti2
oleh baginda suatu pun tiada alamatnya maka baginda pun balik berjalan baharu
tujuh langkah maka baginda pun melihat ke belakang. Maka di lihat baginda tali
itupun bergeraklah maka baginda pun segera memanggil sekelian orang berhimpun
mengorek bangat2. Setelah pegawai keranda itu nyata pada mata orang sekelian
maka di suruh raja buka tudung keranda itu maka di lihat oleh baginda pada
tubuh Laksamana seurat benang pun tiada yang ada pada tangan Laksamana itu
hanyalah belanga besi yang sumbing sebiji.
Maka raja pun segera menyampakkan
kain pada Laksamana maka Laksamana pun di bawa oranglah naik ke atas tebing
liang itu lalu duduk menyembah pada kaki raja. Maka titah raja “Hai Laksamana
kemana perginya kain di bungkus pada tubuh Laksamana itu” maka sembah Laksamana
“Daulat tuanku adapun tatkala berbunyi kaki orang berjalan kembali itu kira2
tujuh langkah maka datanglah gunung api dua buah terlalu besar dengan hebatnya
bernyala2 menyambar2 pada tubuh patik. Bunga api itu maka patik pun tahanlah
dengan belanga besi itu maka sebelah yang sumbing itulah masuk bunga api itu
sedikit lalu di makannya kain yang di bungkus pada tubuh patik itu”.
Maka titah raja “Di mana
Laksamana boleh belanga besi itu” maka sembah Laksamana “Patik tiada periksalah
tatkala datang gung api dua buah itu sekonyong2 adalah belanga besi itu pada
tangan patik”. Maka baginda pun berangkatlah kembali ke istana dengan
sukacitanya kerana melihat Laksamana itu selamat maka bertukarlah menjadi duka
pula sebab melihat dan mendengar hal Laksamana tatkala di tanam itu. Maka
baginda pun sangat fikir dan insaf akan dirinya maka titah baginda pada puteri
Gunung Ledang “Hai anakku dan buah hatiku cahaya mataku. Adapun emas ayahanda
dua buah gedung ini ayahanda tinggalkan anakanda suatu gedung. Yang sebuah itu
ayahanda pintalah pada tuan akan bekal ayahanda bawa ke akhirat kerana dunia
itu dari fana ayahanda pun sudah tuha melainkan ayahanda hendak berbuat amal
sementara ada hayat sehari dua ini tinggallah tuan baik2 peliharakan segala
menteri pegawai dan rakyat tuan itu”.
Maka sembah puteri Gunung Ledang
“Daulat tuanku mana titah patik junjung sedang tubuh patik lagi dalam perintah
duli syah alam ini pula emas dan perak itu akan patik tahan seperti maksud
tuanku itu”. Setelah baginda mendengar sembah anakanda baginda demikian itu
maka baginda pun terlalu sukacita seraya berbangkit keluar menyuruh memanggil
penghulu gedung maka penghulu itupun segeralah dating. Maka titah baginda
“Segeralah kamu keluarkan emasku di dalam gedung itu bawa kehadapanku ini” maka
penghulu gedung itupun menyembah lalu kembali mengerahkan segala temannya
mengangkat emas dalam gedung itu di bawanya persembah kepada raja.
Setelah baginda melihat emas itu
sudah hadir bertambun2 beribu2 bahara emas di hadapan baginda maka baginda bertitah
pada Temenggung suruh palu mang2 berkeliling negeri kita ini di hulu dan di
hilir suruh berhimpun masuk kecil besar hina dina maka di kerjakan oranglah
seperti titah itu. Setelah genap tujuh hari Temenggung memalu momongan itu maka
berhimpunlah segala rakyat hina dina masuk ke dalam pagar balairong itu. Maka
emas itupun di suruhnya sedekahkan oleh baginda pada biduanda empat puluh itu
hamburkan pada segala rakyat sekelian datuk2 fakir dan miskin ratalah habis
boleh segala rakyat dalam negeri Melaka itu sampai habis pada segala teluk
rantau dan anak sungai dan jajahan yang takluk ke Melaka itu seorang jua pun
tiadalah hilat lagi daripada laki2 dan perempuan daripada kecil dan besar
semuanya habis menerima sedekah daripada raja itu.
Bermula membahagi sedekah itu
empat puluh hari lamanya maka emas segedung itupun habislah di sedekahkan oleh
raja maka segala rakyat fakir dan miskin dalam negeri Melaka itupun semuanya
menjadi kayalah sekeliannya. Maka segala yang menerima sedekah raja itu pun
semuanya menadahkan tangannya minta doa akan raja itu datang kepada anak cucu
baginda itu menjadi raja dan bertambah2 kebesaran dan kemuliaan datang kepada
akhir zaman.
Syahdan maka Bendahara dan
Temenggung dan Laksamana pun bermohon pada raja pergi berbuat tempat duduk
khalwat. Adapun Bendahara duduk di tanjung Keling dan Temenggung duduk di
tanjung Tuan dan Laksamana duduk di tanjung Jugra. Adapun di atas bukit Jugra
itulah di perbuat suatu dokoh tempat berkhalwat maka Laksamana pun duduk di
bukit itu dua orang dengan gurunya. Adapun guru Laksamana itu orang Peranakan
Khujarat maka ia itu orang haji turun dari haji maka lalu ia ke bandar Aceh
maka datang ia ke Melaka maka ia pun bermuridkan Laksamana.
Maka tuan sheikh itulah yang
bersama2 dengan Laksamana duduk di bukit Jugra itu mengerjakan amar Allaha
siang malam terlalu keras tiadalah lagi Laksamana itu ingatkan pekerjaan dunia
melainkan shuhudnya pada Allaha Taa’alaya semata2. Maka apabila perahu berlayar
di laut tanjung Jugra itu hingga sejauh2 mana pun melainkan membuangkan seligi
sebilah dan peluru sebutir memasang bedil dan menikam seligi memberi hormat
akan Laksamana dan tuan sheikh itu maka seligi dan peluru itupun bertambun2lah
pada tempat itu sampai kepada akhir zaman datang sekarang ini pun demikianlah
di perbuat orang segala yang lalu di laut itu.
Apabila tiada di perbuat seperti
itu adalah keteduhan angin tiadalah boleh berlayar turun ribut yang amat keras.
Demikianlah di anugerah Allaha Taa’alaya seseorang hambanya yang di letakkan
tanda kemuliaan dan keramat itu maka tiadalah tersebut perkataan Laksamana dan
Bendahara dan Temenggung khalwat itu Wa Al Laha Aa’lama Ba Al Showaaba.
Syahdan maka tersebutlah
perkataan raja Melaka tatkala sudah pergi Bendahara dan Temenggung dan
Laksamana berkhalwat itu maka baginda pun turunlah di atas kerajaannya dengan
seorang dirinya melakukan seorang darwis. Maka raja pun berjalanlah segenap
kampong dan dusun lalu mudik ke hulu negeri siang malam tiada berhenti lagi
berjalan itu maka raja pun lintaslah pada suatu padang yang maka luas maka pada
ketika itu matahari pun tengah rambang dan panas pun sangatlah maka raja pun
sangatlah kelaparan dan dahaganya.
Maka dengan takdir Allaha
Taa’alaya maka raja pun bertemu dengan suatu kebun timun orang buahnya pun
terlalu banyak. Maka segera di hampiri raja Melaka lalu di pegangnya pagar
timun itu serta di mintanya pada tuannya yang menunggu timun itu maka di beri
oleh tuannya sebutir. Maka raja pun segera mengambil timun itu lalu di keratnya
makan habis sekerat maka yang lebih sekerat itu di galasnya maka raja pun
berjalan di tengah padang itu sambil menggalas timun sekerat itu. Maka takdir
Allaha Taa’alaya maka datang nabi Allaha Khidir merupakan seorang2 muda lalu
berselisih jalan dengan raja Melaka itu.
Maka kata orang muda itu “Al
Salaama A’laya Kama ya bapaku” maka di sahut raja itu demikian katanya “Wa
A’laya Kama Salaama ia anakku”. Maka kata orang muda itu “Hai bapaku apa tuan
hamba galas itu” maka sahut raja “Timun hamba galas ini”. Maka kata orang itu
“Bukan timun yang bapaku galas itu tengkorak orang juga” maka kata raja dengan mastahafnya
“Timun juga hamba galas itu”. Maka kata orang muda itu tiga kali berturut2
“Bukan timun tengkorak juga tuan hamba galas itu” maka raja pun terlalulah
hairan hatinya akan orang muda itu.
Maka galas timun itupun di
hempaskannya ke tanah oleh raja lalu di bukanya beri orang muda itu lihat. Maka
takdir Allaha Taa’alaya timun sekerat itupun menjadi tengkorak orang maka orang
muda itupun ghaiblah dan raja pun pengsanlah tiada khabarkan dirinya. Maka raja
pun mimpi dalam pengsan itu suatu suara kedengaran pada raja demikian bunyinya
“Hai raja Melaka manatah katamu hendak mematikan dirimu menjadi darwis
meninggalkan kerajaanmu adakah syarat demikian itu. Adapun syarat darwis itu
ada makan ia makan lamun tiada syukurlah ia kepada Allaha Taa’alaya maka ini
lebih engkau makan engkau bawa pula timun sekerat itu”.
Maka raja pun jagalah daripada
pengsan itu lalu berjalan pula tiadalah berhenti lagi barang sedikit di anugerah
Allaha Taa’alaya kakinya berjalan itu dengan sangat ia insaf akan dirinya makin
bertambah2 syukur ia kepada Allaha Taa’alaya. Maka tiadalah tersebut lagi
perkataan raja Melaka berjalan itu tiada ketahuanlah pergi sekonyong2 ghaib
dalam berjalan itulah tiada kedengaranlah wartanya.
Sebermula peninggalan raja Melaka
sudah ghaib itu maka puteri Gunung Ledang pun tetaplah di atas kerajaannya
dengan adilnya dan murahnya akan segala rakyat dan dagang santeri yang pergi
itu tefahasnya. Maka negeri Melaka itupun sentosalah makin bertambah2 ramainya
dengan sebab Bendahara dan Temenggung dan Laksamana memeliharakan negeri itu
maka dagang dan santeri pun banyaklah pergi datang berniaga pada negeri itu. Maka
sekonyong2 dengan kehendak Allaha Taa’alaya atas negeri Melaka maka datang
sebuah kapal Peringgi di negeri Manila membawa dagangan terlalu banyak berniaga
ke negeri Melaka itu. Maka kapitan kepada itupun naik ia mengadap Bendahara
Paduka Raja membawa persembah terlalu banyak berlaksa2 emas pada seorang.
Bermula Temenggung dan Laksamana
dan puteri Gunung Ledang pun di bawanya demikian juga maka kata kapitan itu
kepada Bendahara hendak minta duduk sebuah gedung di halaman pintu gerbang
negeri Melaka itu. Maka di bicarakan oleh Bendahara dengan Temenggung dan
Laksamana dengan segala menteri pegawai sekelian tiada di berinya duduk berbuat
gedung itu sekadar di berinya berniaga di kapal sahaja. Setelah sudah ia
berniaga maka kapal Peringgi itupun berlayarlah kembali ke negeri Portugal maka
datanglah pada tahun yang ke hadapan maka mari pula sebuah kapal terlalu besar datang
dari negeri Portugal.
Adapun kapitan Peringgi itu
Peringgi yang lain pula datang itu membawa emas dan perak dan senjata terlalu
banyak tiadalah muat dagangan yang lain lagi melainkan penuh kapal itu dengan
ubat pelurunya dan di muatnya batu pegawai gedung itu juga mustaib sudah sedia.
Maka kapitan Peringgi itu pun naiklah mengadap puteri Gunung Ledang membawa
persembah berpuluh2 bahara emas dan perak memohonkan beli tanah sebidang
belulang kambing sahaja katanya akan tempat duduk berniaga di darat. Maka titah
puteri Gunung Ledang “Baiklah berapa kamu hendak beri harga tanah sebidang
belulang itu aku hendak harganya pun sebidang belulang juga” tambunnya riyal
itu tingginya pun demikian juga. Maka kapitan Peringgi itu “Baiklah patik
sembahkan seperti kehendak raja itu” maka kata kapitan kapal itupun menyuruhkan
kelasinya turun ke kapal mengambil riyal di bawanya naik di persembahkan pada
raja bertambun2.
Bermula Bendahara dan Temenggung
dan Laksamana segala pegawai dan menteri pun berbicaralah maka katanya “Baiklah
kita persembahkan pada raja jangan di beri kerana Peringgi orang jahat”. Maka
kata seorang pula “Biarlah apa hendak jadi sangat tanah sebidang belulang itu”
maka dengan demikian riyalnya bertambun2 itupun di terima oleh rajalah di
masukkan ke dalam gedung. Setelah sudah kapitan Peringgi itupun mohonlah pada
raja dan Bendahara lalu turun ke kapalnya melarik belulang sebidang belulang
itu di jadikan tali dan menyuruh kelasinya berangkat batu segala perkakasan
pegawai gedung itu di tambunnya pada bumi di hadapan pintu gerbang negeri
Melaka itu.
Maka kapitan pun naiklah ke darat
membawa tali belulang itu di tariknya empat persegi tanah itu sehabis2 tali
belulang sebidang itu di perbuatnya sebuah gedung terlalu besar dan tingginya
terlalu kukuh gedung itu di perbuatnya lubang meriam tujuh lapis. Maka dalam
berbuat itu Bendahara dan Temenggung Laksamana pun berbicaralah menyembahkan
raja suruh orang pergi tahani jangan di buat gedung itu kerana luas sangat
tanahnya kerana janji raja dengan kapitan sekadar sebidang belulang juga
luasnya yang di beri raja itu.
Maka berapa2 kali pun di suruh
larang oleh Bendahara dan Temenggung tiadalah di dengarnya di perbuat juga
bersungguh2 serta katanya kapitan Peringgi itu “Hamba beli pada raja habis
perak hamba beratus bahara. Janji raja dengan hamba sebidang belulang luasnya
maka ini pun belulang sebidang itulah hamba jadikan tali”. Dengan demikian maka
gedung itupun sudahlah di perbuatnya mustaib dengan selengkapnya maka orang
Melaka pun tiadalah di endahkannya lagi akan Peringgi itu di biarnyalah berbuat
gedung itu ikut sekehendak hatinya.
Setelah sudah maka di bawa
naiknyalah segala perkakas dan ubat peluru penuh dalam gedung itu ia mengatakan
tunga itu tempat isi beras di bawanya naik. Maka orang Melaka pun tiadalah
khabarkan dirinya lagi gholib dengan berniaga di laut kerana dagangan yang di
bawanya itu terlalu indah2. Maka pada ketika sunyi waktu tengah malam dan
dinihari maka Peringgi itupun menaikkanlah segala meriam yang besar2 di dalam
kapal itu habis di bawanya naik di masukkan gedung itu lalu di aturnya habis meriam
itu segenap lubang bedil berkeliling gedung itu tujuh lapis.
Maka meriam itu di isinya ubat
peluru tiga2 butir peluru sepucuk meriam itu maka pada waktu tengah malam
senyap orang tidur habis. Maka kapitan itupun menyuruh segala kelasinya
memasang meriam itu habis kesemuanya daripada waktu malam hingga naik matahari.
Maka segala rumah dan pagar dan balai dan jambatan orang Melaka itupun habislah
di terbangkan oleh peluru meriam itu. Maka kapal Peringgi di negeri Manila dan
Portugal pun datanglah empat puluh buah membantu temannya. Maka orang Melaka
pun terkejut terlalu huru hara beribu2 yang mati dan luka kena bedil dan peluru
kena pegawai rumahnya ada yang kena pegawai jambatan dengan demikian orang
Melaka yang berketi2 banyaknya itu habislah lari membawa dirinya ke hulu Melaka
pecah belah tiada lagi berketahuan perginya.
Adapun rumah orang Melaka yang di
luar negeri yang hampir jajahan negeri Melaka itu sekira2 setengah hari
pelayaran jauhnya tiada lagi berputusan dan berselang. Jikalau kucing berjalan
di atas rebungan rumah orang Melaka itu tiada lagi turun ke tanah demikianlah
perinya kebanyakan rakyatnya dan saudagar dan orang kaya2 dan nakhoda di dalam
negeri. Maka tatkala itu puteri Gunung Ledang lari ke hulu Melaka dengan segala
dayang2 perwaranya maka segala harta orang Melaka pun habislah tinggal boleh ke
Peringgi itu. Semuanya yang lari itu tiadalah ia ingat hendak membawa hartanya
lagi melainkan kata2 hendak melepaskan tubuhnya juga kerana pada waktu terkejut
itu semuanya di dalam tidur tengah nyedar terbanyak pula lepas tubuh sahaja
tiada berkain pada tubuhnya itu.
Bermula puteri Gunung Ledang lari
itu sekira2 sepuluh hari perjalanan jauhnya di negeri Melaka itu maka puteri
Gunung Ledang pun jatuh ke dalam hutan rimba yang amat besar hampir dengan
negeri batak. Maka di ambil oleh segala menteri banyak itu di rajakan puteri
Gunung Ledang itu di dalam negeri batak maka tiadalah tersebut lagi perkataan
puteri Gunung Ledang itu hingga datang sekarang. Sebermula raja Melaka dan
Bendahara Paduka Raja dan Temenggung dan Laksamana duduk berkhalwat di atas
bukit tanjung Jugra itu pun tiadalah tersebut lagi entah mati entah ghaib
tiadalah siapa2 yang mengetahui dia melainkan Allaha Sabahaanaha Wa Taa’alaya
jua yang mengetahui khabarnya pun tiada kedengaran segala makhluk.
Syahdan Bendahara Tun Mat dan
Temenggung Tun Kerma dan Laksamana Tun Qodim dengan segala menteri pegawai
orang besar2 Melaka tatkala sudah selesai daripada lari musuh Peringgi itu maka
ia pun menghimpunkan segala rakyat barang yang ada itu di bawanya berjalan
bersama2. Bermula berjalan itu lantas ke hujung tanah yang bernama Jauhar
(Johor) maka iapun berbicaralah sama sendirinya lagi pergi ke Bentan mengadap
sultan Ahmad. Maka titah sultan Ahmad suruh Bendahara Tun Mat sekeliannya itu
kembali pergi duduk ke hujung tanah itu berbuat negeri dan suruh mengimpunkan
segala rakyat yang pecah belah itu lalu berbuat negeri.
Setelah sudah negeri itu maka di
namai negeri Johor Daaro Al Aa’laama maka sultan Ahmad pun pindahlah di Bentan
itu dengan segala rakyatnya pergi duduk ke negeri itu. Maka keturunan Melaka
itu jatuh kepada orang Johorlah datang sekarang ini maka negeri Melaka itupun
boleh ke Peringgilah. Maka di perbuatnya kota batu hitam berkeliling bukit itu
maka di labarnya dengan kapur gemerlapan cahayanya seperti kapas terbusar. Berapa
lamanya Peringgi duduk di negeri Melaka itu sekonyong2 datang kapal Belanda
menyerang negeri Melaka itu pula maka di lawannya oleh segala Peringgi tiadalah
berapa2 lekat peluru yang besar pada leburan kapur kota Melaka itu.
Maka di bedilnya dari laut oleh Belanda
itu maka tiada juga di endahkan oleh Peringgi itu maka oleh orang Belanda pergi
minta bantu orang Johor pula lalu berjanjilah orang Johor dengan orang Belanda.
“Apabila alah Peringgi itu boleh negeri Melaka itu akan orang Belanda hendak
berkasih kasihanlah orang Belanda tiada lagi hendak mendatangkan khianat kepada
orang Johor” maka janji itu di surat taruh oleh raja Johor di tempanya emas di
titiknya seperti kertas maka kertas emas itulah di pahat suratnya janji itu.
Setelah sudah maka di pahat pula
cap raja Johor suatu dan di pahat cap tanda orang besar2 Belanda suatu maka
surat itu datang kepada datuk paduka raja Johor ada menaruh surat pada kertas
emas itu. Maka janji itupun terikat datang sekarang ini tiada terubah maka
orang Johor pun pergilah bantu Belanda itu menyerang Peringgi di negeri Melaka
itu. Datuk Paduka Raja akan panglimanya maka segala orang Peringgi itu pun
habislah lari berhimpun masuk ke daalam kota Melaka itu tiada boleh keluar lagi
di tunggu berkeliling kota Melaka itu oleh orang Belanda dan orang Johor.
Maka di lawannya di dalam kota
oleh Peringgi itu terlalu ramai pada masa itu gemuruh bunyi bedil dan gegak
gempita bunyi tempik segala hulubalang dan rakyat sekelian. Maka berapa2 kali
di langgarnya kota Melaka itu tiada juga alah maka datuk Paduka Raja pun
menyuruh orangnya berbuat tangga dan sigi itu. Setelah sudah di perbuatnya maka
pada ketika yang baik pada waktu dinihari maka di langgarnyalah kota Melaka itu
lalu di sandarnya tangga dan sigi itu pada kota. Maka di panjatnya naik
beberapa ratus orang Johor dan orang Belanda serta dengan datuk Paduka Raja
memanjat kota itu bercawat bulat.
Maka Peringgi yang duduk itu
tiadalah taksir lagi memarang dengan pedang dan shamsarnya dan memanah dan
membedil ada yang memalu dengan kayu besi dan ada yang memalu dengan pahat besi
berduri seperti durian ada yang melontar dengan batu. Maka banyaklah orang Johor
dan orang Belanda mati pada ketika itu maka datuk Paduka Raja pun tiadalah
khabarkan dirinya lagi lalu bercawat bulat di panjatnya kota Melaka itu dengan
pedang bertelanjang seorang sebilah. Maka datuk Paduka Raja pun lepaslah masuk
ke dalam kota itu kira2 ada tiga puluh orang sahaja lain daripada itu semuanya
habis mati yang lepas itu semuanya lari.
Maka datuk Paduka Raja pun
mengamuklah dalam negeri Melaka itu memarang dengan pedangnya dan segala orang
yang sertanya tiga puluh itu. Seketika juga maka Peringgi itupun habis mati
yang ada hidup semuanya habis lari terbit keluar kota maka di turut bunuh oleh
segala orang yang di luar itu habis mati semuanya Peringgi itu. Maka negeri
Melaka pun alahlah bolehlah akan orang Belanda datang sekarang inilah maka
terlalulah banyak orang Belanda dan orang Johor beroleh rampasan itu tiada
terkira2 lagi bedil senjata dan harta bertambun2.
Maka harta dan senjata yang di
peroleh itu semuanya di bahagi dua orang Belanda dan orang Johor maka terlebih
juga di ambil oleh orang Johor. Maka orang Johor pun kembalilah dengan
kemenangannya membawa harta senjata itu terlalu banyak. Maka sebab janji itu
tiada di ambilnya negeri dengan segala anak sungainya itu oleh Belanda yang
duduk di Melaka dan Jaya Ketara itu sampai sekarang inilah tiada tersebut
ceteranya negeri Melaka itu tetaplah di perintahkan oleh orang Johor dan Belanda
itu.
Maka Tun Tuah pun tiada tersebut
lagi di dalam negeri itu tetapi si Tuah tiada mati kerana si Tuah itu ia
hulubalang besar lagi ia menjadi Wali Allaha. Maka sekarang ini khabarnya Tun
Tuah ada di pucuk hulu sungai Perak ia duduk menjadi raja segala batak dan
orang hutan. Maka sekarang pun ada bertemu dengan orang maka di tanya orang itu
katanya “Tuanku mahu beristeri” maka katanya “Tiadalah hamba mahu beristeri
lagi”. Demikianlah perintah hikayat Hang Tuah itu. Tamat.
Sumber: Kitab Hang Tuah
Manuskrip British Library & Universiti Malaya